Make your own free website on Tripod.com
 

Saturday, January 28, 2012

Gula Mungkin Tidak Manis Bagi Felda

A Kadir Jasin

RAMAI pembahas meminta saya mengulas mengenai cadangan Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda) menjual saham anak syarikatnya, Felda Global Ventures Berhad (FGV), di pasaran terbuka dan menyenaraikannya di Bursa Malaysia.

Saya masih tidak bercadang membincangkannya, selain membuat kenyataan fakta berikut:

1. Felda wajib menjual sekurang-kurangnya 25 peratus saham FGV kepada umum melalui tawaran awam permulaan atau initial public offering (IPO) sebelum boleh menyenaraikannya di Bursa Malaysia;

2. Tetapi Felda boleh menjual lebih daripada peratusan itu dan menyenaraikannya di lebih daripada sebuah pasaran melalui “secondary listing”;

3. Dengan baki 75 peratus, Felda masih menguasai FGV kerana pegangan saham minimum yang diperlukan oleh Felda untuk menguasai dan menguruskan FGV adalah 33.3 peratus;

4. Dengan melakukan IPO, Felda boleh mengumpul modal baru. Modal itu boleh digunakan sendiri oleh Felda atau “dipinjamkan” kepada FGV untuk dilaburkan dalam projek-projek baru;

5. Dalam proses IPO, banyak pihak berpeluang mendapat pendapatan/keuntungan dalam bentuk keuntungan modal (capital gain), komisen dan yuran perundingan; dan

6. Sesiapa yang berkedudukan baik atau bernasib baik dan dapat borang merah jambu (pink form), walaupun tidak ada modal, masih boleh “gadai” dan dapat habuan up-front.

Pembelian MSM Daripada Kuok

Yang membimbangkan ialah kemungkinan dasar, strategi dan pelaksanaan kegiatan komersial Felda melalui FGV tidaklah secekap yang didakwa dan diharapkan.

Saya telah mengulas di sini dan di ruangan-ruangan lain mengenai pembelian perniagaan gula Robert Kuok di Malaysia oleh FGV pada tahun 2009 dengan harga RM1.5 bilion, pada saat-saat perjanjian pembelian gula mentah pada harga murah daripada Australia akan berakhir. Malaysia mengimport 90 peratus keperluan gulanya dan Australia adalah antara pembekal utama.

FGV membeli Malayan Sugar Manufacturing (MSM) dan ladang gula Chuping di Perlis daripada Kuok. Tahun lalu, FGV menjual sebahagian sahamnya dalam MSM melalui IPO dan menyenaraikan semula MSM di Bursa Malaysia. Besar kemungkinan FGV telah membuat keuntungan modal daripada penjualan itu.

Dua tahun kemudian, pada tahun 2011, Kuok, melalui syarikat perladangannya, Wilmar yang berpangkalan di Singapura, membeli syarikat pengeluar gula mentah terbesar Australia, CSR, dengan harga A$1.75 bilion (kira-kira RM5.25 bilion).

Kalau dulu Kuok memonopoli perniagaan gula di Malaysia, kini beliau mengusai salah satu punca bekalan gula terbesar di dunia. Beliau kini dianggarkan menguasai 10 peratus perdagangan gula dunia.

Kalau MSM terus membeli gula dari Australia, kemungkinan besar ia membelinya daripada Kuok. Begitulah liciknya “Raja Gula” kelahiran Malaysia, tetapi berpangkalan di Hong Kong itu.

Kekhuatiran mengenai pembelian MSM oleh FGV terbukti apabila harga gula mula naik dan Kerajaan terpaksa memikirkan semula dasarnya untuk mengurangkan subsidi.

Beberapa hari lalu, CIMB Research, cawangan penyelidikan CIMB Bank, meramalkan kesan negatif kenaikan harga gula terhadap MSM, walaupun Kerajaan bersetuju menaikkan kadar subsidi.

Ia mengulas yang kenaikan kadar subsidi (sebanyak 20 sen sekilo kepada 54 sen mulai awal bulan ini) tidak dapat menampung kenaikan harga yang ditanggung oleh MSM.

Ini adalah beban berganda. Walaupun Kerajaan menaikkan kadar subsidi bagi mengekalkan harga pengguna, namun kesannya kepada MSM masih negatif.

Keadaan adalah rumit. Kalau kadar subsidi tidak ditambah, harga runcit gula akan naik dan nama Felda akan busuk. Kalau nama Felda busuk, nama Perdana Menteri pun busuk juga kerana beliau adalah “mentor’ Felda.

Walaupun perniagaan gula adalah monopoli, tetapi sejak awal lagi saya berasa pembelian SMS oleh FGV kurang strategik kerana masalah bekalan gula dunia semakin meruncing dan pengguna tempatan pula sangat sensitif terhadap kenaikan harga.

Juga, sebarang masalah dengan FGV juga boleh menjejaskan kebajikan peneroka dan kakitangan Felda kerana mereka memiliki 51 saham FGV melalui Koperasi Permodalan Felda. Bagi saham FGV dimiliki oleh Felda sendiri.

Sejak dulu lagi saya berasa lebih tepat kalau perniagaan gula dikendalikan oleh sektor swasta. Setidak-tidaknya Kerajaan boleh mengalihkan beban kenaikan harga kepada mereka.

Di pihak lain, ada kebaikan kepada kenaikan harga gula kerana pengguna Malaysia berlebihan menggunakan bahan itu. Selain itu, Kerajaan wajar memikirkan semula dasar subsidi bahan itu kerana, kalau tidak silap saya, pengguna industri dan perdagangan pun menikmati subsidi gula.

Saya cadangkan, cuba minum kopi atau teh tanpa gula atau kurangkan kemanisannya. Bagi saya, rasanya lebih sedap. Saya sudah berdekad-dekad tidak makan gula dan susu pekat manis atas pilihan, bukan kerana penyakit. Di Malaysia, ramai orang berkata mereka kopi atau teh. Tetapi sebenarnya mereka minum air sirap (air gula) berperasa kopi atau teh.

Wallahualam.

(diambil dari blog A Kadir Jasin tanpa suntingan)

Sejarah Kita | Buka Minda | Polar Light - Aurora | Muka Depan
Hantarkan komen dan cadangan anda kepada azubir99@gmail.com
Tarikh kemaskini : 07-Aug-2015