Mengenalpasti Punca Sendawa
Oleh Raihanah Abdullah

SESUDAH kenyang makan, lazimnya kita akan sendawa. Justeru, sendawa selepas makan pastinya tidak menimbulkan kebimbangan kepada diri sendiri mahupun orang yang mendengarnya.

Bagaimanapun, bayangkanlah jika anda sering sendawa saban hari dan turut menimbulkan kehairanan, terutama kepada orang sekeliling berhampiran.

Namun, apa yang pasti, apabila kita terdengar seseorang sendawa atau kentut, mengadu kembung perut atau berasa tidak selesa pada bahagian perut, secara umum, kita anggap keadaan itu sebagai angin.

Bagaimanapun, jangan sekali-kali memandang ringan jika anda sering mengalami sendawa dan sebaik-baiknya dapatkan pemeriksaan lanjutan untuk mengetahui punca sebenar sendawa, apatah lagi jika anda mengalami keadaan itu bertahun-tahun lamanya.

Perunding bedah di sebuah pusat perubatan swasta di ibu negara, Dr Zain al-Rashid Mohd Nor, berkata punca sendawa boleh dibahagi kepada dua faktor utama iaitu organik dan penyebab luaran atau functional.

Beliau berkata, faktor organik dikaitkan kepada sesuatu penyakit yang berpunca daripada struktur di dalam gastro usus yang membabitkan penyakit dan kanser tertentu.

Katanya, faktor penyebab luaran membabitkan sebab-sebab psikologi seperti tekanan, kemurungan, perasaan cemas, pengambilan ubat-ubatan penahan sakit dan menahan pengeluaran angin.

Selain itu, katanya, perubahan hormon, gangguan kitaran haid, masalah personaliti, tekanan dalam kehidupan juga boleh menyebabkan seseorang itu kerap sendawa.

Beberapa faktor lain yang turut menyebabkan sendawa ialah apabila seseorang itu terlalu sensitif apabila dipegang, yang mana angin akan tertolak keluar apabila badan individu itu disentuh.

* Dalam keadaan ini, otot badan akan menjadi keras sekali gus perut akan menjadi tegang dan angin pula tertolak keluar sehingga individu itu sendawa*, katanya ketika ditemui, baru-baru ini. Dr Zain al-Rashid berkata, kira-kira 70 peratus daripada punca sendawa bukan berpunca daripada faktor organik dan tidak perlu dikhuatiri dan lazimnya, seseorang itu akan sembuh dalam tempoh satu tahun.

Bagaimanapun, katanya, amat penting bagi setiap orang untuk mengenal pasti punca sendawa terlebih dulu. Ini kerana, katanya, salah satu petanda seseorang itu berpenyakit kanser dan menghidap penyakit tertentu ialah apabila mereka kerap sendawa dalam tempoh yang lama, iaitu sehingga tujuh tahun. Apakah penyakit yang dikaitkan dengan sendawa?


Kanser perut.

Kanser esofagus.

Peptik ulser.

Duodenal ulser.

Peningkatan tahap asid di dalam perut.

Kembung perut.

Infeksi helicobacter pylori.

Batu di dalam hempedu.

Sembelit.

Bagaimana pemeriksaan dan diagnosa dilakukan?

Doktor akan mengambil sejarah pesakit. Pesakit kemudiannya dikehendaki menjalani beberapa pemeriksaan iaitu:


Ujian darah.

Ujian air kencing.

Pemeriksaan najis.

Pemeriksaan ultra bunyi.

Ujian gastroskopi.

Kesemua ujian itu penting bagi membolehkan doktor mengenal pasti faktor yang menjadi punca kepada masalah sendawa yang sedang dialami pesakit.

Selain itu, rawatan bagi sendawa pula bergantung kepada punca sendawa. Sebagai contoh, jika ia disebabkan penyakit seperti batu di dalam hempedu, doktor akan menasihatkan pesakit supaya menjalani pembedahan. Bagaimanapun, jika ia disebabkan oleh masalah kembung perut, sembelit, ulser peptik atau duodenal, doktor akan memberikan pesakit ubat-ubatan.

Secara am, angin di dalam perut tidak berbahaya dan memudaratkan dan keadaan ini selalunya menyebabkan ramai orang memandang ringan keadaan itu.

Bagaimanapun, harus diingatkan supaya anda menjalani pemeriksaan lanjut kerana dikhuatiri ia ada kaitan dengan penyakit organik dan jika tidak dirawat ia boleh menyebabkan kanser.

Kad Kredit | Kisah Wahyu Terakhir | Solat | Hudud | Saat Kematian | Sekular | Menu

Cadangan dan teguran dipersilakan kealamat azubir99@gmail.com