|
KENAPA HATI PERLU DIJAGA
Allah SWT akan mempersoal hati manusia ketika dia datang bertemu
dengan-Nya pada hari kiamat mengenai apa dilakukan semasa di dunia. Hal
ini ditegaskan Allah menerusi ayat 36 surah al-Israa maksudnya:
"Dan janganlah engkau mengikut apa yang engkau tidak mempunyai
pengetahuan mengenainya; Sesungguhnya pendengaran dan penglihatan serta
hati, semua anggota-anggota itu tetap akan ditanya tentang apa yang
dilakukannya. "
Ini kerana hati manusia ibarat seorang raja yang boleh mengeluarkan
arahan terhadap bala tenteranya. Dia boleh bertindak untuk menerus atau
memberhentikan sesuatu peperangan jika dia melihatnya tidak memberi
apa-apa keuntungan.
Baginda s.a.w. menganggapnya sebagai perkara yang utama dalam diri
manusia, jika ia baik, maka baiklah seluruhnya anggota manusia, tetapi
jika sebaliknya ia jahat, maka jahatlah seluruh anggotanya, itulah hati
manusia. (Maksud sebahagian hadis riwayat Imam al-Bukhari dan Muslim)
Paling penting, setiap Muslim perlu mencari jalan bagaimana mereka dapat
meluruskan hati mereka daripada terkena virus penyakit berbahaya yang
boleh mencacatkan hubungan mereka dengan Allah pada hari kiamat.
Ini kerana sesungguhnya hati yang hidup itu akan menikmati kebahagian
seperti di bawah ini:
* Hidupnya hati adalah menjadi pokok pangkal hidupnya iman.
* Hidupnya hati adalah pokok pangkal hidupnya akhlaqul karimah.
* Hidupnya hati adalah pokok pangkal sebab dapatnya menerima hidayah
Allah.
Allah SWT telah mengingatkan kita sebagai hamba-Nya agar membawa hati
kita untuk bertemu-Nya pada hari kiamat dengan hati yang sejahtera.
Ini ia dirakam menerusi ayat 88-89 surah as-Syu'araa yang bermaksud: "Iaitu
pada hari di mana harta dan anak-anak tidak berguna. Melainkan mereka
yang menghadap Allah dengan hati yang bersih (sejahtera). "
Iaitu sejahtera, bersih dan selamat daripada penglibatan dalam perkara
syirik, nifaq atau tidak mempercayai akan kebesaran Allah SWT.
Apa yang perlu mereka ketahui, ialah bahawa hati manusia terbahagi
kepada tiga jenis, satu positif dan dua yang lain adalah negatif, ia
terserah kepada manusia Muslim untuk memilih salah satu daripada tiga
jenis hati: (a) hati yang sejahtera (daripada segala bentuk khurafat,
syirik, bidaah, nifaq), (b) hati yang mati dan (c) hati yang sakit.
Hati yang sejahtera
Iaitu hati yang sejahtera daripada menuruti hawa nafsu serakah yang
menyalahi perintah Allah SWT, tidak terjebak dalam perlakuan syirik
kepada-Nya, tidak melakukan tindakan yang menyalahi ajaran Rasul-Nya. Ia
adalah hati yang sentiasa tunduk kepada kehendak Allah, mencintai-Nya
lebih daripada isi dunia, takut kepada seksaan-Nya, rindu untuk
menemui-Nya, ikhlas kerana-Nya, mengasihi seseorang Muslim dan
membencinya kerana-Nya, sentiasa sokong dan cenderung kepada hukum-hakam-
Nya, terselamat daripada jangkitan virus penyakit hati. Inilah hati yang
hidup sejahtera, lembut, sedia menerima nasihat.
Hati yang mati
Iaitu hati yang berlawanan dengan hati yang sejahtera 100 peratus, iaitu
membiarkan untuk tidak terus mengabdikan sebagai hamba Allah, menuruti
hawa nafsu, menyanggah hukum-hukum- Nya, membenci golongan yang menyeru
kepada kebaikan, menghalang majlis-majlis ilmu, tidak mahu menerima
nasihat yang baik malah melawannya, bersahabat dengan orang-orang jahat.
Itulah hati yang mati dengan Islam.
Hati yang sakit
Iaitu hati yang tidak konsisten, adakalnya cenderung kepada kebaikan
dengan mendengar nasihat penceramah dan pada masa sama cenderung kepada
kejahatan, inilah hati sekejap baik sekejap jahat.
Apa yang perlu kita tahu tentang persoalan hati?
Menurut Mahmoud Syal, seorang pengkaji agama di laman web islamonline.net, tanda-tanda hati yang sejahtera adalah:
1. Sentiasa mengarah tuan punya diri untuk terus mengingati dan
bertaubat kepada Allah.
2. Sentiasa mengingatkan tuannya untuk beribadat kepada Allah.
3. Rasa selesa, seronok dan kelazatan beribadat lebih daripada kelazatan
makanan dan minuman.
4. Memberi tumpuan sedalam-dalamnya terhadap apa yang dibaca khususnya
ketika melaksanakan solat.
5. Mengingatkan tuannya agar sentiasa menghiasi diri dengan akhlak yang
mulia, sama ada perbuatan, kenyataan dan tindakan.
6. Reda terhadap pelaksanaan perintah Allah dan bersedia untuk
meninggalkan segala tegahan dan larangan-Nya.
7. Seronok menghabiskan masa untuk Allah dan gelisah apabila habis untuk
selain-Nya.
Tanda-tanda hati yang rosak:
1. Hati tidak merasa bersalah apabila terlibat melakukan dosa dan
maksiat.
2. Tidak terasa untuk melakukan taubat apabila melakukan kesalahan.
3. Merasa seronok bergelumang dalam dosa.
4. Tidak mempedulikan perintah Allah, malah suka terbabit pada
larangan-Nya.
5. Benci kepada kebenaran dan cuba menghalang kemaraannya.
6. Benci kepada orang-orang soleh atau mereka yang suka melakukan
kebaikan.
7. Suka bertengkar pada perkara yang tidak memberi manfaat untuk agama.
8. Menerima rasuah, sogokan, riba dan perkara haram serta merasakan
keseronokannya.
9. Takut kepada orang yang gagah, tetapi sedikit pun tidak takut kepada
Allah.
10. Benci kepada perkara makruf dan suka kepada perkara mungkar.
Kaedah rawatan penyakit hati:
a) Mentarbiah hati supaya mencintai Allah dengan sedalam-dalamnya.
b) Membaca serta bertadarus (menyelidik) makna dan maksud-maksud ayat
al-Quran.
c) Mendekatkan kepada Allah dengan amalan-amalan sunat.
d) Khusyuk dalam solat.
e) Memperbanyak zikir dan memohon ampun kepada Allah.
f) Melakukan kebaikan kerana ikhlas kepada Allah dan mengharapkan
keredaan-Nya.
g) Melakukan amal dan ibadat berdasarkan perintah Allah dan Rasul.
h) Beriktikad dengan akidah yang betul.
i) Sentiasa melakukan muhasabah diri.
j) Memperuntukkan masa bagi Allah menerusi penggarapan ilmu-ilmu agama.
k) Memperbanyakkan qiyamullail, berdoa terutamanya pada sepertiga malam.
l) Tunduk dan khusyuk kepada Allah dalam segenap tindakan dan perbuatan.
m) Memastikan sumber makanan dan pakaian adalah halal di sisi Allah SWT.
n) Menundukkan penglihatan kepada perkara-perkara yang diharamkan Allah.
o) Suka menziarahi kubur dan mengingati mati.
p) Sentiasa bersyukur dan reda kepada Allah atas segala nikmat yang
dikurniakan.
q) Suka membantu anak-anak yatim dan bermesra dengan mereka.
r) Suka bersahabat dan duduk dengan orang-orang soleh yang boleh
dijadikan teladan.
Posted by Nurhayati Jusoh
- Adab Minum Rasulullah |
Sabar | Muka Depan - |