|
Salah Faham Terhadap Hudud
Salah faham yang pertama ialah apabila ada menganggap bahawa persoalan Hudud
merupakan persoalan yang hanya dikaitkan secara ekslusif dengan golongan
ekstrimis Islam. Padahal Hudud merupakan perkara asas dalam persoalan
keimanan dan tauhid kepada Allah SWT. Hukum Hudud telah dinyatakan secara
jelas di dalam Quran dan Sunnah. Setiap muslim wajib menerima kewajiban
Hudud untuk dilaksanakan di kalangan masyarakat Islam.
Hujjah yang mengatakan bahawa Hudud tidak lagi sesuai dengan perkembangan
zaman moden adalah hujjah yang dangkal. Sekiranya Hudud ketinggalan zaman,
maka begitu jugalah halnya dengan semua hukum syariat yang lain seperti
hukum solat, puasa, haji, nikah kahwin, dan jual beli. Kesemua hukum-hukum
ini juga dinyatakan secara jelas oleh Al-Quran dan Sunnah.
Contohnya, lelaki yang adil bukan hanya perlu sebagai saksi-saksi dalam
pengendalian kes-kes jenayah Hudud, tetapi juga sebagai wali nikah dan imam
solat. Maka itu, andaian yang mengatakan bahawa amat sukar untuk mendapatkan
saksi yang adil untuk menjadi saksi kes Hudud sebenarnya juga seolah-olah
mengandaikan bahawa hukum nikah kahwin dan solat berjemaah tidak lagi perlu
dipraktikkan oleh umat Islam sekarang. Tentunya ini merupakan andaian yang
liar dan tidak benar.
Sekiranya Hudud mahu dilabelkan sebagai agenda golongan ekstrimis Islam,
maka apakah semua orang yang bernikah kahwin mengikut syariat dan bersolat
jamaah juga perlu dilabelkan sebagai ekstrimis Islam? Maka, siapa lagi
sebenarnya di kalangan umat Islam yang bukan ekstrimis melainkan kesemua
muslim yang baik akan digelar ekstrimis Islam belaka.
Salah faham seterusnya ialah apabila kita melihat hukum Hudud dalam
bentuknya yang juz'i (stand alone) yang terpisah dari sistem jenayah syariah
Islam secara keseluruhan. Islam adalah sistem yang lengkap dan saling
melengkapi (kamil wa mutakamil). Setiap elemen dari ajaran Islam tidak boleh
diceraikan dari keseluruhan batang tubuh Islam itu sendiri, dan begitu
jugalah halnya dengan hukum Hudud. Hukum Hudud dalam bentuknya yang juz'i
(stand alone) tidak akan mampu melahirkan keadilan, dan keadaan ini telah
dipergunakan sepenuhnya oleh golongan penentang Hudud untuk menggambarkan
bahawa Hudud adalah zalim. Mereka menilai Hudud dalam bentuknya yang
terpisah dari keseluruhan sistem kehakiman dan perundangan Islam, dan
sememangnya Hudud yang diambil secara juz'i ini boleh disifatkan sebagai
tidak adil atau zalim.
Contoh yang selalu dikemukakan adalah persoalan rogol. Dalam hukum Hudud,
jenayah rogol adalah disamakan dengan jenayah zina. Tahap kesaksian dan
hukumannya juga sama. Dalam Hudud juga, menuduh seseorang yang dikenali
sebagai orang baik melakukan zina tanpa mendatangkan saksi yang berwibawa
merupakan suatu kesalahan Qazaf yang boleh membawa hukuman sebanyak 80
rotan. Lalu diambil peruntukan-peruntukan hudud ini secara terpisah oleh
penentang Hudud untuk menggambar betapa mangsa rogol akan dizalimi.Mereka
mengandaikan bahawa seorang mangsa rogol perlu mendatang 4 orang saksi
lelaki yang adil untuk membuat pengaduan atau menghadapi risiko kesalahan
Qazaf. Ini, menurut andaian mereka, adalah menzalimi mangsa rogol dan
melindungi perogol. Padahal, undang-undang yang melibatkan kes rogol perlu
dirujuk kepada keseluruhan peruntukan undang-undang jenayah syariah secara
lengkap (Hudud, Qisas, Takzir, Undang-undang keterangan, siasah syari'ah)
dan tidak boleh dinilai dari perspektif hukum Hudud secara terhad dan
terpisah.
Seseorang yang mengadu dirinya dirogol, sepertimana kes-kes biasa, perlu
membuat lapuran polis dan melakukan pemeriksaan doktor. Ini prosedur biasa.
Polis atau pegawai penyiasat akan melakukan penyiasatan berdasarkan lapuran
dan keterangan yang diberikan. Sekiranya terdapat bukti yang kukuh bahawa
kes rogol sememangnya telah berlaku, pegawai penyiasat akan menyerahkan
lapuran kepada pihak pendakwa.
Sekiranya tahap kesaksian untuk pendakwaan dilakukan dalam hukum Hudud tidak
mencukupi (tiada 4 orang saksi yang melihat kejadian tersebut), pihak
pendakwa masih boleh mendakwanya di bawah undang-undang Takzir. Melalui
peruntukan Takzir, beban pembuktian adalah lebih longgar dan hukumannya juga
lebih ringan berbanding Hudud. Pemeriksaan doktor dan keterangan-keterangan
serta bukti-bukti yang dikumpulkan oleh polis ini (DNA test, lapuran
kesihatan, penilaian psychology, dll) dinamakan sebagai Qarinah. Qarinah
boleh digunakan sebagai bahan bukti yang boleh mensabitkan kesalahan takzir
ke atas perogol. Qarinah ini juga boleh mengelakkan mangsa rogol dari
dakwaan Qazaf, kerana Qazaf merupakan kesalahan Hudud dan sebarang keraguan
yang boleh ditimbulkan (melalui Qarinah) dalam kes Hudud boleh menggugurkan
kes tersebut. Hukuman Hudud boleh dilakukan ke atas seseorang hanya apabila
tiada sebarang keraguan langsung (beyond any shadow of doubt). Manakala
untuk kesalahan yang boleh dibuktikan secara jelas oleh Qarinah, tetapi
tidak mencapai tahap kesaksian yang diperlukan oleh Hudud, hukum Takzir
boleh dikenakan terhadap penjenayah tersebut.
Mengaitkan Qazaf dengan kes rogol secara mutlak adalah suatu andaian yang
liar dan tidak adil. Hukum Qazaf berfungsi untuk melindungi maruah seseorang
individu yang baik dari sebarang tuduhan melulu yang boleh menjatuhkan
maruah diri dan keluarganya. Sekiranya, seseorang itu menuduh dirinya
dirogol oleh seseorang, sedangkan bukti dan keterangan (Qarinah) yang dibawa
menunjukkan sebaliknya, barulah ia boleh didakwa di bawah Qazaf. Contohnya,
Minah menuduh Ali merogolnya sehingga mengandung, tetapi ujian DNA
menunjukkan bahawa anak tersebut bukanlah dari benih Ali, maka Minah akan
menghadapi risiko dakwaan Qazaf melainkan ada 4 orang saksi yang berwibawa
yang melihat kejadian rogol tersebut, ataupun dapat dibuktikan secara
Qarinah bahawa dia dirogol oleh ramai orang dan Ali adalah salah seorang
daripada mereka. Tetapi, sekiranya ujian DNA mengesahkan bahawa anak
tersebut memang jelas dari benih Ali, maka Ali boleh didakwa di bawah
peruntukan Takzir, manakala Minah tidak akan dihukum di bawah Qazaf. Dalam
kes ini, Ali tidak didakwa di bawah Hudud kerana tahap kesaksian tidak
menepati kehendak hukum Hudud, sebaliknya beliau akan dihukum di bawah
undang-undang Takzir.
Dalam kata lain, sekiranya perkara ini dirujuk kepada keseluruhan rang
undang-undang Hudud, Qisas, Takzir, Undang-Undang Keterangan, dan ditambah
dengan kefahaman terhadap konsep Siasah Syariah, maka segala keraguan dan
andaian liar terhadap Hudud atau mana-mana peruntukan dalam hukum Jenayah
Syariah tidak sepatutnya berlaku.
Ibarat kata Tun Salleh Abbas, bekas Ketua Hakim Negara, yang juga salah
seorang ahli panel Jawatankuasa Penyediaan Rang Undang-Undang Hudud dan
Qisas, " Sekiranya undang-undang ini dilaksanakan dengan mendapatkan
kerjasama semua pihak, kebanyakan masalah yang melibatkan sistem Perundangan
dan Kehakiman negara dapat diselesaikan, di samping mencapai matlamat
mengurangkan kadar jenayah dan kerosakan akhlak."
Kesilapan melihat peruntukan hukum jenayah syariah dalam bentuknya yang
stand alone (juz'i) ini juga berlaku kepada pengkritik hukum Qisas. Mengikut
peruntukan hukum Qisas, seorang pembunuh itu wajib dibalas bunuh melainkan
beliau mendapat persetujuan dari waris mangsa untuk membayar diyat
(gantirugi), ataupun pengampunan terus dari waris mangsa. Andaian yang
sering dibuat oleh penentang Qisas ialah bahawa seorang pembunuh yang kejam
dan merbahaya akan terlepas dari hukuman sekiranya waris mangsa bersetuju
mendapat bayaran ganti rugi atau mengampunkan pembunuh tersebut. Sekiranya
ini berlaku, pembunuh itu boleh terus membunuh mangsa-mangsa yang lain.
Sekiranya kita membaca peruntukan tersebut secara lengkap dan bersama dengan
peruntukan-peruntukan yang lain, sebenarnya Hakim masih boleh menjatuhkan
hukuman Takzir ke atas pembunuh itu, di samping hukum Qisas sekiranya pihak
Mahkamah bersetuju bahawa pembunuh tersebut perlu dihukum bagi menjamin
ketenteraman awam. Dalam kata lain, walaupun pembunuh tersebut mendapat
pengampunan dari waris mangsa dari dijatuhkan hukuman bunuh balas (Qisas),
beliau masih boleh dihukum penjara atau hukuman-hukuman lain yang setimpal
dengan kesalahannya. Jadi, tidak timbul persoalan samada seseorang
penjenayah itu dengan mudah boleh melepaskan diri dengan memberi rasuah
kepada waris mangsa.
Seperkara lagi yang sering diabaikan dalam perbahasan berkenaan Hudud ialah
peri pentingnya kefahaman terhadap Siasah Syar'iah di dalam perlaksanaan
Undang-Undang Jenayah Syariah. Kebanyakan mereka yang menentang
Undang-Undang Hudud dan Qisas adalah terdiri dari kalangan mereka yang
mempunyai kefahaman yang sangat terhad terhadap Siasah Syari'ah. Siasah
Syar'iah amat penting bagi menghadapi kes-kes yang rumit dan spesifik. Para
Hakim dan Peguam Syari'ah adalah mereka yang terlatih di dalam ilmu Siasah
Syari'ah. Ini penting agar keadilan sistem perundangan Islam dapat
dilaksanakan.
Umpamanya penentang Hudud mempersoalkan tentang keperluan saksi lelaki di
dalam kes-kes Hudud, dan bagaimana sekiranya kejadian rogol dilakukan di
asrama wanita. Kes seperti ini boleh dirujuk kembali kepada perbicaraan
terhadap pembunuhan Osman bin Affan, salah seorang Khalifah Islam. Saksi
kepada pembunuhan tersebut ialah isteri Osman sendiri, dan tiada saksi
lelaki. Hakim, menggunakan kaedah Siasah Syari'ah bagi membenarkan kesaksian
dari kaum wanita kerana kes-kes tersebut memerlukan kesaksian mereka. Oleh
kerana kesaksian beliau cukup kukuh dan tidak dapat dicabar di mahkamah,
maka kesaksian tersebut diterima di dalam perbicaraan itu.
Begitulah juga dengan peristiwa yang berlaku di zaman pemerintahan Islam di
mana terdapat seorang gadis yang mengandung lalu dibawa ke muka pengadilan.
Gadis itu mempertahankan dirinya menyatakan bahawa beliau tidak tahu sesiapa
yang merogolnya, tetapi menyebut bahawa beliau adalah seorang yang terlalu
kuat tidur sehingga tidak sedar jika diperlakukan sesuatu yang tidak baik ke
atasnya. Memandangkan kes ini jarang berlaku, hakim telah membenarkan
tertuduh mengemukakan beberapa saksi yang boleh mengesahkan dakwaannya
bahawa beliau adalah seorang yang terlalu kuat tidur. Setelah hakim berpuas
hati dengan kesaksian bahawa gadis tersebut memang dikenali sebagai seorang
wanita yang taat beragama serta berakhlak baik, dan kesaksian bahawa beliau
memang seorang yang terlalu kuat tidur sehingga tidak sedar diperlakukan
sesuatu ke atasnya ketika sedang tidur, maka hakim telah menggugurkan kes
tersebut kerana terdapat keraguan yang munasabah bahawa gadis tersebut telah
berzina secara sukarela.
Bagi mereka yang memahami persoalan Siasah Syar'iah secara mendalam, Hukum
Hudud merupakan suatu sistem perundangan yang adil dan dinamik yang mampu
menangani persoalan semasa selari dengan kemajuan saintifik dan perkembangan
sosio-ekonomi masyarakat. Sebenarnya, terlalu banyak kes-kes penghakiman di
dalam sistem perundangan Islam yang mempu membuktikan bahawa sistem ini
merupakan sistem yang adil dan dinamik, di samping menepati kehendak syara'
seperti yang telah digariskan oleh Al-Quran dan Sunnah.
Umpamanya, kes rogol mungkin tidak berlaku paksaan secara fizikal
semata-mata. Ia juga boleh berlaku melalui tipu muslihat lain seperti kaedah
tekanan mental, perasaan, dan lain-lain. Seorang mangsa rogol umpamanya
mungkin terpaksa menyerahkan dirinya kepada seseorang yang dianggap lebih
berkuasa dan berpengaruh serta boleh menjejaskan kehidupan keluarganya dalam
pelbagai sudut. Pembuktian kes-kes seperti tentunya lebih rumit dan
memerlukan pendekatan Siasah Syari'ah yang lebih mendalam. Bagaimanapun,
tentulah dangkal dan tidak benar untuk mengatakan bahawa hukum Islam telah
ketinggalan zaman sedangkan ianya telah terbukti mampu menjadi tunggak
kehakiman ummah selama lebih seribu tahun sejak terdirinya kerajaan Islam di
Madinah sehinggalah kepada kejatuhan Khalifah Othmaniah pada tahun 1924.
Apa yang menjadi masalah ialah ramai umat Islam hari ini yang sudah terpisah
dengan pengamalan syariat Islam sehingga merasa cukup asing dan melihat
hukum syariah dengan penuh prejudis dan kecurigaan, sedangkan mereka tidak
mempunyai kefahaman yang mendalam berkenaan ilmu tersebut. Apatah lagi
apabila masyarakat bukan Islam yang juga cuba menilai hukum ini dengan
keilmuan sifar, secara tidak beradab mencela dan menghina hukum Islam.
Wallahua'lam.

Hudud (Menafi hak Wanita?) | Solat |
Saat Kematian | Sekular |
Menu
Cadangan dan teguran dipersilakan kealamat
azubir99@gmail.com
|