|
Tadabbur Al-Quran Penawar Hati Mukmin
Jika anda membaca al-Quran, ke mana arah
pemikiran anda terbang dan di manakah hati
anda hinggap? Antara punca kita tidak
mendapat hidayah al-Quran adalah akal dan
hati yang tidak fokus kepada makna bacaan.
Ada yang membaca hanya untuk mengejar
matlamat mengkhatamkan saja. Ada pula yang
memberat-beratkan hukum-hukum tajwid hingga
melalaikannya daripada memahami makna. Yang
paling menyedihkan wujud segelintir orang
Islam yang membaca al-Quran untuk dibayar
bagi mengirimkan pahala kepada orang yang
telah mati!
Penyalahgunaan al-Quran memang kerap
dilakukan, hingga menyelewengkan manusia
dari matlamat sebenar untuk menjadikan
al-Quran sebagai petunjuk kehidupan.
Praktik sebegini telah dilakukan oleh
para orientalis yang belajar al-Quran
untuk mencari kelemahan Islam dengan
cara membuat penafsiran-penafsiran yang
jauh melencong dari disiplin ilmu Islam
yang sebenar. Seperti Jaringan Islam
Liberal yang dikenali sebagai JIL di
Indonesia telah melebarkan fahaman Islam
yang menghalalkan apa yang diharamkan
al-Quran sehingga Majlis Ulama Indonesia
(MUI) telah mengharamkan pertubuhan ini
serta merta. Antara fahaman mereka
adalah sesiapa sahaja boleh menafsirkan
al-Quran hingga orang awam yang tak
mengerti bahasa Arab dan disiplin ilmu
Al-Quran dan Hadis pun boleh menafsirkan
al-Quran mengikut pandangan akal dan
adat budaya serta keperluan semasa.
Di Amerika, Amina Wadud telah menulis
buku tentang Tafsir al-Quran menurut
perspektif feminisme yang menolak
ketentuan hukum-hakam al-Quran tentang
poligami, talak, harta warisan dan
isu-isu seumpamanya yang menyangkut hal
ehwal kewanitaan. Beliau menganggap
tafsir yang ditulis ulama-ulama dahulu
perlu direvisi dan disesuaikan menurut
peredaran zaman dan kedudukan wanita
saat ini. Kemuncaknya beliau telah
mengimamkan kaum lelaki dalam satu Solat
Jumaat.
Namun demikian, Allah Taala masih
menjaga agama ini dari anasir-anasir
yang menggugat keasliannya.
Dipeliharanya ilmu para ulama dan
sarjana Islam yang komited lagi beriman
dari terpesong dan disuburkan
ladang-ladang ilmu di serata dunia
dengan kelahiran generasi-generasi Islam
yang istiqamah berpegang kepada kekuatan
ilmu yang bersumberkan dari al-Quran dan
al-Hadis.
Semakin rancak dan canggih musuh-musuh
Islam mahu menodai kesucian al-Quran
semakin berani umat Islam yang sedar
maju ke hadapan membela dan
mempertahankan kemurnian Islam. Semakin
dicabar umat Islam maka semakin kuat dan
ramai yang sedar bahawa kefahaman mereka
tentang al-Quran harus dipertingkatkan
dari semasa ke semasa. Kalau dahulu kita
hanya belajar membaca al-Quran tanpa
tahu apa isi kandungannya, kini ramai
orang yang mula mengkaji al-Quran,
mempelajari tafsirnya dan berusaha
menghafalnya sepertimana mereka juga
mencintai hadis Rasulullah SAW dan
mengamalkannya dalam kehidupan seharian.
Tidak ada alasan untuk kita mengatakan
kepada Allah Taala saat bertemu pada
hari pembalasan, bahawa kita tidak tahu
apa-apa tentang agama ini. Kerana
semuanya telah tersedia dengan begitu
mudah. Hidayah Allah SWT datang dalam
satu pakej lengkap melalui santapan
Qurani yang kini telah diterjemahkan ke
dalam pelbagai bahasa.
Permasalahan utama dalam memahami
al-Quran adalah bahasa, tetapi Said
Hawwa dalam kitabnya al-Mustakhlas fi
Tazkiyatin Nafs menyatakan bahawa:
“Antara kelemahan umat Islam memahami
al-Quran selain jurang bahasa ada satu
punca yang ramai orang awam tidak
memperhatikannya iaitu ‘tidak mampu
mentadabburkan al-Quran’. Beliau
merumuskan cara-cara mentadabburkan
al-Quran, antaranya ialah:
1. Fahami tujuan membaca.
Bukan hanya pahala saja yang diharapkan,
tetapi hendaknya Al-Quran itu tertegak
dalam keperibadian, seterusnya
menggerakkan kita menjadi pembela yang
memperjuangkan nilai-nilai Al-Quran
dalam masyarakat. Pendeta Zwimmer pernah
berucap dalam satu Persidangan Misionari
Antarabangsa di Jerussalem Palestin,
berkata: “Para misionaris telah berhasil
mempengaruhi generasi Islam di pelbagai
negara dan mereka lahir sebagai manusia
yang tidak mengenal Tuhannya dan asing
daripada kitab sucinya, walaupun kalian
belum berhasil memurtadkan mereka ke
dalam agama kita, tidak mengapa,
bukankah mereka telah lahir sebagai
generasi yang tidak memiliki idealisme
dalam kehidupan?”
Sesungguhnya ancaman bagi musuh-musuh
Islam bukan kerana senjatanya, bukan
kerana kekayaannya dan ramai bilangannya
tetapi kerana jiwa-jiwa Qurani yang
terpacak kukuh di serata dunia. Untuk
itu mereka memerangi Al-Quran supaya ia
tidak tertegak di hati generasi Islam.
2. Tadabbur suatu proses membersihkan hati.
Segala sesuatu yang berasal dari
keikhlasan hati akan terpancar keindahan
dan kebaikan di dalamnya. Semua ibadah
dalam Islam dimulakan dengan niat di
dalam hati. Ketika membaca Al-Quran,
sebenarnya kita seolah-olah sedang
menyelongkar ke dalam diri untuk menilai
siapakah kita sebenarnya?
Ramai orang yang begitu mengambil berat
tentang suci dari hadas kecil dan besar
ketika memegang al-Quran tetapi berapa
ramai yang mementingkan kesucian hati
dari angan-angan dunia yang
menyibukkannya sehingga fikirannya tidak
mampu terfokus kepada ayat yang dibaca.
Adakah kita mampu merehatkan hati kita
dari lintasan-lintasan dengki, riyak,
dendam dan kebencian kepada sesama insan
ketika memegang Al-Quran?
3. Membaca dengan harapan
mendapat hidayah Allah.
Sebelum membaca Al-Quran pernahkah kita
berdoa: ”Ya Allah berilah petunjuk
dengan bacaanku ini.” Sesungguhnya orang
yang mahu petunjuk betul-betul
memerhatikan setiap ayat yang dilafaz
dan mendengarkan dengan penghayatan
sambil mencari apakah yang belum aku
kerjakan dari suruhan Al-Quran ini? Dan
apa pula perbuatan yang kerap dilakukan
padahal ditegah Al-Quran. Jangan bekukan
Al-Quran dalam ruangan sempit pemikiran
kita. Ayat yang turun mencela golongan
munafik dan kafir, itu sebenarnya untuk
diri kita juga yang kadang-kadang
tersalah jalan lagi alpa.
4. Rasulullah mengulang-ulangi
bacaan dalam sembahyang.
Tadabbur juga boleh dilakukan dengan
cara mengulang-ulangi bacaan sambil
menghayati maknanya. Diriwayatkan
daripada Abu Zar, beliau berkata:
Rasulullah SAW mengerjakan sembahyang
malam bersama kami lalu baginda berdiri
dan membaca sebuah ayat, Baginda
mengulang-ulang ayat tersebut, iaitu
yang bermaksud: ”Jikalau Engkau (Ya
Allah) menyeksa mereka maka sesungguhnya
mereka itu adalah hamba-hamba-Mu jua dan
jikalau Engkau mengampuni mereka maka
sesungguhnya Engkau adalah Maha Perkasa
lagi Maha Bijaksana.” (Surah Al-Maidah
ayat: 118)
Sesungguhnya pengulangan ayat dengan
maksud meresapkannya ke dalam hati dan
seterusnya sebati di dalam darah dan
daging merupakan proses pembersihan jiwa
yang diajarkan oleh Rasulullah SAW.
Betapa nikmatnya tadabbur yang menjadi
kesukaan baginda dan para sahabatnya.
Posted by
Mencari Kebenaran
|