|
SEKULAR ITU
PERANCANGANNYA
?
Sekular atau dalam bahasa Arabnya dipanggil
"al-'Ilmaniyyah" diambil dari perkataan ilmu
(dalam bahasa Arab = 'ain, lam dan mim). Kononnya dari
segi mafhum, ia bermaksud mengangkat martabat ilmu, jadi
ia tidak bercanggah dengan mafhum Islam yang juga
menjadikan ilmu sebagai satu perkara penting bagi manusia
dan menyeru kepada ilmu sejak wahyu pertama lagi TETAPI
sebenarnya penterjemahan kalimah sekular kepada
"al-'Ilmaniyyah" hanyalah satu tipu daya dan
berselindung di sebalik slogan ilmu. Sebenarnya kalau
diperhatikan makna tersirat bagi sekular ialah
"al-Ladiniyyah" yakni tanpa agama atau
"al-La'aqidah" yakni tanpa akidah. Tokoh
pemikir Islam Prof. Dr. Yusuf al-Qaradhawi pernah
menyebut perkara ini di dalam penulisannya tentang
sekularisme.
Istilah "al-'Ilmaniyyah" dipilih untuk mengabui
mata umat Islam agar menerimanya kerana jika digunakan
istilah "al-Ladiniyyah" atau
"al-La'aqidah", sudah pasti umat Islam akan
menolaknya. Sebab itulah kita merasakan betapa jahatnya
penterjemahan sekular kepada istilah
"al-'Ilmaniyyah" dengan tujuan mengabui mata
dan betapa jahatnya golongan ini yang ingin menutup
perbuatan mereka tanpa diketahui oleh kebanyakan orang.
Bagi anak didik sistem sekular, mereka tidak segan silu
menerima dan bermati-matian mendokongnya kerana mereka
memang telah diprogramkan untuk menyebarkan fahaman
sekularisme. Namun bagi ulama-ulama Islam yang faham
hakikat sebenar makna Islam, mereka bermati-matian pula
menentang penyebaran fahaman ini yang jelas bertentangan
dengan hakikat Islam. Jadi sudah tentu berlaku satu
pertembungan antara pendokong sekularisme dan ulama-ulama
Islam dalam mempertahankan "hakikat"
masing-masing.
(SEKULARISME
ANTARA TIMUR DAN BARAT)
Tidak menghairankan jika fahaman sekularisme mendapat
tempat di barat. Ini berpunca dari pengongkongan gereja
dan tindakannya menyekat pintu pemikiran dan penemuan
sains. Ia bertindak ganas lagi dengan menguasai akal dan
hati manusia, dengan erti kata lain segala keputusan
adalah di tangan pihak gereja dengan mengambil kesempatan
mengaut keuntungan dari pengikutnya dengan cara yang
salah.
Eropah pernah tenggelam dengan darah mangsa-mangsa pihak
gereja apabila ratusan malah ribuan orang mati di dalam
penjara dan di tali gantung. Dengan sebab ini berlakulah
pertembungan antara gereja dan sains yang akhirnya
tertegaklah fahaman sekularisme yang bererti
"memisahkan agama (kristian) dari negara".
Suasana kacau bilau dalam agama kritian hasil
penyelewengan yang berlaku dalamnya (-ia berpunca dari
perancangan yahudi-) memungkinkan tertegaknya fahaman
sekularisme di samping agama kristian yang sedia ada.
Sekularisme disebarkan untuk keluar dari kepompong gereja
yang begitu teruk mengongkong pengikutnya. Masyarakat
Eropah tertekan dan dizalimi di bawah pemerintahan
gereja. Bagi pejuang sekular, mereka menganggap
dengan berada di bawah kuasa gereja mereka tidak akan
mencapai kemajuan. Sebab itulah mereka memutuskan tali
ikatan diri mereka dengan gereja dan menjadi orang yang
beragama kristian hanya pada nama tidak pada pengamalan
agama.
Sekularisme adalah suatu kepercayaan atau fahaman yang
menganggap bahawa urusan keagamaan atau ketuhanan atau
gereja tidak harus dicampurkan dengan urusan negara,
politik dan pentadbiran. Ringkasnya sekularisme adalah
satu fahaman yang memisahkan antara urusan agama dan
kehidupan dunia seperti politik, pentadbiran, ekonomi,
pendidikan dan sebagainya. Yang jelas menurut faham
sekular, soal bernegara, berpolitik, berekonomi dan
sebagainya tidak ada kaitan dengan soal agama atau
gereja.
Apabila fahaman sekularisme ingin dipindakan dari barat
ke timur, golongan ini tidak menyedari (secara sengaja
atau tidak) suasana di timur yang berpegang kuat dengan
agama Islam. Sudah pasti ia tidak sekali-kali merelakan
pemisahan agama (Islam) dari negara. Keadaan dalam Islam
tidak sama dengan apa yang terjadi dalam kristian di mana
sepanjang sejarah Islam tidak ada penzaliman terhadap
penganutnya. Begitu juga Islam tidak membenarkan
pemisahan agama (Islam) dari negara kerana negara
mengikut fiqh Islam ialah sebahagian dari agama bukannya
satu perkara yang berasingan. Dalam Islam, tidak mungkin
tertegaknya agama (dengan sempurna) tanpa negara (yang
boleh menguatkuasakan undang-undang agama) dan tidak
mungkin tertegaknya negara (tanpa kacau bilau) jika tidak
ada agama (yang boleh memandunya).
Al-Syahid Hasan al-Banna dalam "Majmu'ah
Rasa'il" menegaskan bahawa Islam merupakan sistem
sempurna yang merangkumi urusan kehidupan manusia
semuanya. Ia merangkumi negara, kerajaan, rakyat, akidah,
syariat, akhlak, ekonomi, keadilan, undang-undang, ilmu,
jihad, dakwah, tentera dan lain-lain. Pendek kata tidak
ada perkara yang dibiarkan melainkan Islam merangkuminya.
Al-Quran sendiri telah menggariskan beberapa dasar umum
untuk umat Islam dalam memandu kehidupan mereka. Sebagai
contoh dalam bidang akidah (lihat surah Al-Imran ayat
19), bidang ibadat (lihat surah Al-Baqarah ayat 43),
bidang sosial (lihat surah Al-Baqarah ayat 188), bidang
politik (lihat surah Saba' ayat 15), bidang undang-undang
perlembagaan (lihat surah Al-Nisa' ayat 59) dan juga
bidang-bidang yang lain.
Islam tidak sekali-kali membenarkan penyebaran fahaman
sekularisme di sampingnya dengan membahagikan tugas
antara keduanya iaitu, Islam hanya berfungsi di dalam
urusan akidah dan sekularisme pula berfungsi di dalam
urusan syariat. Perkara ini tidak mungkin terjadi kerana
Islam merupakan satu agama yang terkandung di dalamnya
akidah dan syariat sekaligus dan ia tidak
membenarkan pemisahan ini dilakukan seperti mana Islam
tidak membenarkan tuhan-tuhan lain ditaati dalam bidang
syariah seperti ditaatinya Allah dalam bidang akidah.
Allah telah menegaskan dalam al-Quran bahawa agama yang
diredhainya hanyalah Islam yang suci. FirmanNya yang
bermaksud, "Sesungguhnya al-Din (agama) yang
diterima di sisi Allah hanyalah Islam", surah
Al-Imran
ayat 19.
Jadi untuk menyamakan Islam dengan agama kristian dan
percubaan memasukkan fahaman sekular ke dalam Islam
adalah satu kesilapan dan jenayah yang besar. Islam tidak
seperti kristian kerana Islam datang dari Pencipta
manusia iaitu Allah s.w.t, ia selamat dari cacat cela.
Kristian pada asalnya agama tauhid tetapi telah
diselewengkan oleh paderi-paderi untuk kepentingan
mereka. Sekularisme bukan berasal dari Islam dan Islam
berlepas tangan dari fahaman kufur ini dan tidak ada kena
mengena dengannya. Sesiapa sahaja daripada umat Islam
yang mengagungkan sekularisme iaitu dengan menganggap
untuk maju tidak perlu beramal dengan Islam maka boleh
membahayakan akidahnya.
Sekularisme bukan hanya sekadar berpandangan politik suku
agama suku tetapi dengan menyempitkan ruang lingkup
agama, itu juga termasuk dalam sekularisme seperti
beramal dengan Islam secara separuh. Apa yang memberi
keuntungan dan kemudahan diterima pakai manakala yang
mendatangkan kesusahan ditolak tepi.
Sebab itulah
perbuatan ini ditempelak oleh Allah melalui firmanNya
surah al-Baqarah ayat 85, maksudnya : "adakah kamu
percaya (beriman) kepada sebahagian kandungan Kitab
(al-Quran) dan ingkar akan sebahagiannya? Sebaliknya
Allah memerintahkan agar menerima Islam secara
keseluruhannya melalui firmanNya surah al-Baqarah ayat
208 yang bermaksud, "wahai orang-orang yang beriman,
masuklah kamu ke dalam keseluruhannya".
(CARA-CARA
PENYEBARAN SEKULARISME)
Semenjak penjajah barat meletakkan kaki mereka ke bumi
umat Islam, mereka berusaha sedaya upaya untuk
menyebarkan fahaman sekularisme ini melalui pelbagai
cara. Dengan keupayaan ilmu dan teknologi yang dimiliki
serta pengalaman, mereka berjaya melaksanakannya.
Cara-cara penyebaran fahaman sekularisme ini dilaksanakan
melalui bidang pendidikan, media massa dan undang-undang.
Tujuannya hanyalah untuk menjauhkan umat Islam dari
agamanya.
(PENYEBARAN
SEKULARISME MELALUI PENDIDIKAN)
Antaranya ialah :
1. Menyekat pengajian agama Islam secara material dan
moral.
i. Sekatan secara material dilakukan dengan membuka pintu
seluas mungkin kepada pengajian yang kosong dari ruh
agama Islam (pengajian yang jauh dari penekanan agama).
Pengajian sebegini akan dibantu dan dibangunkan serta
diberi kemudahan dari segi material. Adapun pengajian
agama Islam disempitkan bantuan kewangan ataupun tidak
dibantu lansung. Sebarang bantuan lebih dicurahkan kepada
pengajian sekularisme.
ii. Sekatan secara moral ialah dengan memperlekehkan
golongan penuntut agama dan tuan-tuan guru mereka.
Membeza-bezakan antara guru-guru agama dan guru-guru
subjek lain dalam setiap keadaan memang satu perkara yang
disengajakan. Begitu juga membeza-bezakan antara lepasan
bidang agama dan lepasan bidang-bidang lain. Dari segi
jawatan pula, lepasan bidang agama tidak banyak mendapat
peluang disamping ganjaran dan status yang dipandang
rendah tetapi bagi lepasan bidang-bidang lain agak mudah
mendapat peluang dengan habuan dan status yang lumayan.
Mereka ini akan tenggelam dalam
"ketidaksedaran" dan akan menyebabkan orang
ramai tidak kira tua muda akan lari dari agama dengan
terpahat satu sikap dalam minda mereka iaitu "jika
kita memilih bidang agama ianya tidak akan ke mana dan
tidak akan menjamin hidup", maka dengan itu mereka
lebih cenderung kepada pengajian bidang bukan
agama.
Bukanlah
bermaksud di sini umat Islam tidak boleh mempelajari
ilmu-ilmu selain dari ilmu Islam. Malah sebenarnya tidak
ada istilah ilmu "bukan Islam", seperti
kedoktoran, kejuruteraan dan sebagainya. Ia juga
merupakan ilmu Islam. Yang menjadi persoalannya ialah
umat Islam telah diabaikan dari segi penekanan ilmu
agama yang sepatutnya menjadi teras kepada mereka. Tidak
salah seorang muslim itu menjadi doktor, tetapi biarlah
dia menjadi doktor yang ada asas didikan Islam. Juga
tidak salah seorang muslim itu menjadi jurutera, tetapi
biarlah menjadi jurutera yang ada asas didikan Islam.
2. Menghantar pelajar Islam ke negara-negara bukan Islam
untuk belajar. Misi penghantaran ini akan membuahkan
hasilnya yang memang dinanti-nantikan iaitu pelajar itu
bertambah jahil dengan agama, nilai serta adat yang baik
dan akan menyebabkan pelajar itu tertarik dengan budaya
barat. Di samping itu, akan tertanam dalam diri
pelajar itu tabiat (kelakuan) yang menyeleweng dari
ajaran Islam. Dengan berlalunya masa, tabiat menyeleweng
ini akan menjadi sebati dengan diri pelajar itu dan dia
akan mempraktikkannya dalam kehidupannya sehinggakan
dalam bab makan minum, pakaian, cara pergaulan dan
lain-lain tabiat yang buruk. Dia akan menjadi lebih barat
daripada orang-orang barat sendiri.
3. Melonggarkan sukatan pengajian agama atas nama
kemajuan akademik. Residen Britain di Mesir Lord Krumer
semasa penjajahan Britain ke atas Mesir telah
melaung-laungkan slogan pembaharuan dalam Universiti
al-Azhar dengan memasukkan subjek sivil dalam sukatan
pengajiannya. Percampuran ini menyebabkan pelajar lemah
dalam menguasai ilmu agama. Beberapa sukatan pelajaran
juga telah dibuang atau dikurangkan seperti subjek yang
berkaitan jihad menyebabkan ruh jihad telah hilang dalam
diri pelajar Islam. Pelonggaran sukatan pengajian agama
berlaku di seluruh negara Islam dengan tujuan untuk
melemahkan pelajar-pelajar Islam.
4. Bercambahnya institusi pengajian asing di negara Islam
bagai cendawan tumbuh selepas hujan. Tujuannya ialah
untuk mengeluarkan umat Islam dari agama mereka atau
sekurang-kurangnya menyelewengkan akidah mereka. Paling
kurang kesannya ialah menghina bahasa Arab (bahasa umat
Islam) dan mengagungkan bahasa asing.
Penghinaan bahasa Arab sebenarnya menghinakan agama Islam
itu sendiri. Ini berlaku di negara-negara Arab.
5. Paling bahaya cara yang digunakan ialah percampuran
lelaki dan perempuan ketika pengajian. Mereka (golongan
sekular) memulakannya di negara-negara Islam dengan
mendakwa ianya kemajuan dan kemodenan tetapi ia
sebenarnya menyalakan lagi obor nafsu manusia. Mereka
juga mendakwa percampuran itu dapat mematangkan pemikiran
tetapi mereka telah tersilap kerana ia antara punca
tercetusnya masalah sosial yang kronik akibat percampuran
yang tidak dikawal. Ilmu sains membuktikan percampuran
sebegini akan membawa kepada 2 keadaan :
i. Samada ia akan membekukan nafsu seks antara 2 jantina,
dengan erti kata lain, lelaki tidak lagi bernafsu kepada
wanita secara tabii tetapi lebih bernafsu kepada
kaum sejenis (satu perbuatan yang dikutuk oleh Allah
s.w.t). Penyakit ini semakin menular di negara-negara
barat dan juga Amerika Syarikat.
ii. Ataupun ia akan meransangkan lagi api nafsu. Satu
eksperimen telah dijalankan dengan meletakkan anak
kucing dan anak tikus yang masih kecil dalam satu
sangkar. Kedua-duanya makan dan minum dari satu bekas
yang sama sehinggalah sampai masa "keinginan",
anak kucing itu telah membunuh anak tikus dan
memakannnya walapun kedua-duanya hidup dalam satu sangkar
serta makan dan minum dari bekas yang sama. Anak kucing
itu tidak lagi menaruh sifat kasihan walaupun agak lama
"berdamping" dengan anak tikus itu. Begitulah
diibaratkan dengan percampuran pelajar dengan
sebebas-bebasnya tanpa kawalan, lama kelamaan akan
membawa ke arah masalah sosial. Realiti yang berlaku di
negara-negara Islam adalah bukti yang nyata betapa
teruknya masalah sosial yang berlaku.
(PENYEBARAN
SEKULARISME MELALUI MEDIA MASSA)
Jikalau sekularisasi dalam pengajian hanya melibatkan
ribuan pelajar, tetapi sekularisasi dalam media massa
meliputi jutaan orang yang menonton, mendengar dan
membacanya melalui program-program yang disediakan.
Setiap perkataan atau tulisan yang baik akan menghasilkan
natijah yang baik dengan izin Allah. Manakala perkataan
atau tulisan yang jahat pula akan menghasilkan natijah
yang jahat juga. Oleh itu media massa boleh berperanan
untuk mengangkat martabat, peribadi, maruah dan minda
seseorang atau ia juga boleh berperanan untuk menjatuhkan
martabat, peribadi, maruah dan minda seseorang.
Realiti yang dapat dilihat melalui televisyen, radio,
wayang gambar, teater, akhbar, majalah dan lain-lain
media massa tidak banyak yang membantu perkembangan
nilai-nilai murni. Ia juga tidak membantu perkembangan
minda dan pengamalan dengan akhlak Islam. Jikalau adapun,
ia hanya seperti tangkap muat dan pemanis mulut, tidak
lebih dari itu. Rancangan-rancangan televisyen yang
menyiarkan gambar separuh bogel atau "tidak sempat
memakai baju dan seluar" banyak disiarkan untuk
meruntuhkan akhlak umat Islam terutamanya golongan muda
mudi. Sepatutnya media massa itu menjadi "mimbar
dakwah" yang menyeru kepada kebaikan dan
menyampaikan kebenaran, bukannya suara maksiat, medan
fitnah dan kilang kerosakan sosial masyarakat. Itulah
kerja sekularisme yang berusaha menjauhkan
umat Islam dari agamanya.
(PENYEBARAN
SEKULARISME MELALUI UNDANG-UNDANG)
Golongan sekular berusaha bersungguh-sungguh untuk
menjauhkan Islam dari "kuasa" pemerintahan.
Mereka akan memastikan agar undang-undang Islam tidak
dirujuk walau dalam apahal sekalipun sehinggakan Islam
kelihatan tinggal rangkanya sahaja. Ia terjadi di
kebanyakan negara Islam. Di Turki contohnya, untuk
menjauhkan manusia dari Islam, mereka berusaha
mensekularkan undang-undang sedikit demi sedikit hingga
akhirnya undang-undang Turki menjadi sekular
dan terlerainya undang-undang khilafah Islam. Di Mesir
"pengsekularan" undang-undang dilakukan
ketika penjajahan Inggeris dengan mewajibkan
merujuk kepada undang-undang barat secara umumnya dan
undang-undang Perancis secara khususnya.
Undang-undang Islam yang tinggal hanyalah berkaitan nikah
kawin (ahwal al-Syakhsiah) atau yang berkait dengan adat
kerana ia tidak menggugat kedudukan penjajah. Umat Islam
boleh mengamalkan undang-undang ini di kalangan mereka
tetapi untuk mengamalkan undang-undang yang bersangkut
paut dengan pemerintahan negara, jenayah dan lain-lain
tidak diizinkan oleh penjajah. Ini adalah perancangan
jahat golongan sekular. Mana-mana negara Islam yang ingin
melaksanakan undang-undang Islam secara menyeluruh pasti
akan menerima tekanan hebat dari pihak barat atau dari
golongan sekular dalam negara itu sendiri.
Ini adalah sebahagian perancangan yang dilakukan oleh
golongan sekular untuk memesongkan umat Islam dari
beramal dengan agamanya mengikut jalan yang betul.
Sesiapa yang hatinya kosong dari ruh agama pasti
menganggap sekular itu adalah kemajuan dan kemodenan
tetapi dia tidak sedar bahawa ketika dia menerima dan
mendokong sekularisme, dia telah merenggangkan ikatan
tali dirinya dengan Islam yang dianutinya. Umat Islam
perlulah sedar perancangan-perancangan golongan sekular
ini agar mereka tidak terjatuh ke dalam perangkap yang
akan merugikan mereka di dunia dan akhirat.
Islam dan sekularisme tidak akan dapat disatu dan
disebatikan kerana kedua-duanya adalah berbeza. Al-Marhum
Syeikh Mutawalli Sya'rawi sebelum menghembuskan nafasnya
yang terakhir sempat berkata :
"sedarlah bahawa tidak akan berlaku pertembungan
antara hak dengan hak tetapi pertembungan hanya
berlaku antara hak dan yang batil". Maka umat
islam perlulah mengikut yang hak (kebenaran) dengan
menurut segala perintah Allah s.w.t dan meninggalkan
segala laranganNya. Untuk mengetahui yang hak dan yang
batil menurut pandangan syarak, maka tugas itu biarlah
dilakukan oleh ulama-ulama yang pakar lagi ikhlas. Tidak
ada jalan selamat di akhirat melainkan menerima seratus
peratus ajaran Islam yang sebenarnya mengikut al-Quran
dan Sunnah Rasulullah s.a.w.
Disediakan oleh :
IRWAN BIN MOHD SUBRI
UKM, BANGI.
atkeens@usa.net
(P/S : artikel ini dipetik dan diubah suai dari buku
"Mauqif al-Islam Min al-Tayyarat Wa al-Mazahib
al-Mu'asharah" karangan Prof. Dr. Taha Abd al-Salam
Khudhair dan Prof. Dr. Hasan Muharram al-Sayyid
al-Huwaini, Pensyarah Jabatan Akidah Dan Falsafah, Kuliah
Usuluddin Universiti al-Azhar Mesir).
|