|
Membetulkan Niat Menuntut Ilmu
Oleh : Ustaz Mohd Asri Zainul Abidin
Sabda Nabi SAW:
عَنْ كَعْبِ بْنِ مَالِكٍ t قَالَ سَمِعْتُ رَسُولَ اللَّهِ r يَقُولُ: مَنْ
طَلَبَ الْعِلْمَ لِيُجَارِيَ بِهِ الْعُلَمَاءَ أَوْ لِيُمَارِيَ بِهِ
السُّفَهَاءَ أَوْ يَصْرِفَ بِهِ وُجُوهَ النَّاسِ إِلَيْهِ أَدْخَلَهُ اللَّهُ
النَّارَ.
Maksudnya :
"Daripada Ka'ab bin Malik r.a, katanya : Aku mendengar RasululLah s.a.w.
bersabda: "Sesiapa yang menuntut ilmu (agama) untuk menyaingi ulama, atau
berbahas dengan orang jahil, atau supaya dengan ilmu tersebut wajah orang
ramai tertumpu kepadanya, maka Allah masukkan dia ke dalam neraka." (Riwayat
al-Tirmizi, Ibn Majah daripada Ibn 'Umar, al-Hakim daripada Jabir bin 'Abdillah.
Al-Hakim mensahehkannya dan disetujui oleh al-Zahabi. Lihat : Al-Mustadrak
1/272, cetakan Dar al-Ma'rifah, Beirut. Ada perselisihan dalam menentukan
kedudukan hadith ini, namun hadith ini mempunyai syahid (pembuktian daripada
riwayat lain) yang menjadikannya pada darjah sahih.)
Tujuan menuntut ilmu agama adalah untuk keluar dari kejahilan demi mencari
kebenaran dan berpegang kepadanya. Juga untuk menegakkan kebenaran dan
membelanya. demikian tugasan dan tanggungjawab taalib al-'Ilm dan ulama' (ahl
al-'Ilm). Menuntut ilmu adalah ibadah dan ianya membawa insane muslim ke
syurga. Namun ada di kalangan manusia golongan yang ingin bermegah-megah
dengan ilmu agamanya, bukan untuk kebenaran tetapi sekadar untuk menaikan
diri dan kedudukannya sahaja. Dalam hadith ini disebut tiga niat buruk yang
menyebabkan penuntut ilmu agama dihumban ke dalam neraka.
Pertama : Liyujaariya bihi al-'Ulama' - iaitu untuk bersaing dengan ulama.
Kata al-Imam Ibn Athir (wafat 606H) : "maksudnya ialah untuk dia bersama
ulama di dalam perbahasan dan perdebatan bagi menzahirkan ilmunya kepada
orang ramai dengan tujuan riya' dan sum'ah (inginkan kemasyhuran). (Ibn al-Athir,
al-Nihayah fi gharib al-Hadith wa al-Athar, 1/256, cetakan Dar al-Kutub al-'Ilmiyyah,
Beirut.)
Turut berbincang dan berbahas dalam majlis ulama atau dengan para ulama
bukanlah satu kesalahan. Apatah lagi jika seseorang itu bernar-benar
berkemampuan. Islam menggalakkan kebangkitan ilmu dan generasi intektual
yang baru.
Islam mengalu-alukan ijtihad yang baik dan memenuhi tuntutan. Namun yang
salah ialah pada niatnya yang ingin menjadikan ilmu sebagai jambatan
kesombongan dan ketakburan. Ilmu yang sepatutnya membawa dirinya kepada
syukur dan insaf dijadikan sebagai punca sikap bangga diri dan
menunjuk-nunjuk.
Kesan niat yang sangat buruk sangat bahaya; orang yang seperti ini hanya
mementingkan dirinya sahaja bukan kebenaran fakta. Dia hanya ingin
menegakkan hujahnya untuk menaikkan namanya bukan untuk kebenaran yang Allah
redhai. Jika dia melihat kebenaran di pihak lain dia akan menolak dan
mencari dalih yang baru demi menjaga kemasyhuran namanya. Maka tempat orang
seperti ini di dalam neraka.
Kata al-Imam al-Tibi (wafat 743H) : "Maksud hadith ini ialah dia tidak
menuntut ilmu kerana Allah, sebaliknya untuk dia berkata kepada para ulama :
"aku ini berilmu seperti kamu", kemudiannya dia takabur dan meninggikan diri
pada orang ramai. Ini semuanya (sifat) yang tercela dan azab siksa akan
dikenakan kepadanya." (Al-Tibi, Syarh al-Tibi 'ala al-Miskah al-Masabih,
1/420, cetakan Dar al-Kutub al-'Ilmiyyah, Beirut.)
Kedua : Liyumaariya bihi as-Sufahaa' - untuk bertengkar dengan orang jahil.
Kata Imam al-Munawi (meninggal 1031H) : "Maksudnya ialah untuk dia berhujjah
dan bertengkar dengan mereka secara sombong dan membanggakan diri." (Al-Munawi,
Faidh al-Qadir, 6/176, cetakan al-Maktabah al-Tijariyah al-kubra, Mesir)
Niat buruk kedua dalam menuntut ilmu agama ialah menuntut ilmu dengan tujuan
untuk bertengkar dengan orang yang jahil kerana ingin menunjukkan
kehebatannya. Sedangkan antara tujuan ilmu ialah untuk menyelamatkan orang
jahil agar menemui kebenaran. Ini kerana akal golongan yang jahil sangat
terhad dan memerlukan bimbingan. Namun ada golongan yang menuntut ilmu untuk
bertengkar dengan golongan jahil ini dan menunjukkan kehebatannya kepada
mereka. Orang jahil yang terhad ilmu dan akalnya pasti menyangka dia hebat.
Mungkin hal ini tidak dapat dilakukan di hadapan ulama maka dia mencari
ruang di kalangan orang jahil.
Sebenarnya berbahas, atau berhujjah, atau berdebat itu sendiri bukanlah
perkara yang terlarang dalam syariat, tetapi ianya mestilah dengan cara yang
baik dan membawa kesan yang positif. Bukan untuk kesombongan dan ketakburan
tetapi untuk membimbing manusia kembali kepada hidayah. Firman Allah dalam
surah al-Nahl ayat 125 yang bermaksud : "Serulah ke jalan tuhanmu (wahai
Muhammad) dengan hikmah (kebijaksanaan ) dan nasihat pengajaran yang baik,
dan berdebatlah dengan mereka (yang endkau serukan itu) dengan cara yang
lebih baik; sesungguhnya tuhan mu Dia lebih mengetahui siapa yang sesat dari
jalanNya, dan Dia lebih mengetahui siapa yang mendapat hidayah petunjuk."
Kata al-Tibi : "Maksud : berdebatlah dengan mereka dengan cara yang lebih
baik ialah dengan cara yang terbaik dalam perdebatan, iaitu dengan lunak dan
berlemah lembut tanpa bersikap kasar dan keras. Ini kerana golongan yang
jahil itu kurang pertimbangannya." (Al-Tibi, op.cit. 1/420.)
Ketiga : Yasrifa bihi wujuuha an-Naasi ilaihi - agar dengan ilmu tersebut
wajah orang ramai tertumpu kepadanya.
Ini niat buruk yang ketiga iaitu menuntut ilmu agar mendapat habuan, harta
dan pangkat. Dia menjadikan pengetahuan agama untuk mencari popularity atau
mendapat kedudukan dan jawatan. Menjadikan orang ramai tertarik kepadanya.
Orang yang seperti ini sebenarnya bersedia untuk menjual agamanya untuk
habuan dunia yang dia buru.
Kesalahannya bukan kerana dia mendapat habuan dunia atau kemasyhuran tetapi
niatnya yang memburu dunia dengan mempergunakan agama itu adalah suatu
kesalahan.
Jika menjelmanya tiga niat buruk ini dalam jiwa pemegang amanah ilmu maka
ilmu tidak lagi menjadi cahaya yang menerangi kegelapan, sebaliknya ilmu
akan dijadikan jualan untuk mendapatkan habuan. Oleh itu Nabi s.a.w.
menjanjikan tiga niat buruk ini dengan neraka. Dalam hadith yang lain
baginda menyebut : maksudnya : "Daripada Abu Hurairah ; Sabda RasululLah
s.a.w. : " Sesiapa yang mempelajari sesuatu ilmu yang dengannya dicari redha
Allah Azza wa Jalla, tetapi dia tidak mempelajarinya kecuali untuk
mendapatkan habuan dunia, maka dia tidak akan mendapat bau syurga pada hari
kiamat." (riwayat Abu Daud dan Ibn Majah. Al-Nawawi mensahihkannya dalam
Riyadh al-Solihin - lihat Ibn 'Allan, Dalil al-Falihin, 4/191 cetakan Dar
al-Fikr, Beirut)
Pengajaran Semasa
1.Semua para penuntut ilmu syarak pada zaman ini disemua peringkat hendaklah
membersihkan niat asal mereka dalam menuntut ilmu. Jika golongan ilmuan
Islam dapat dipulihkan niat mereka agar bersi dan mencari redha Allah s.w.t.
pastinya Islam akan terbela dan setiap yang mempermain-mainkannya akan
terjawab.
2- Kemunculan individu dan NGO tertentu yang cuba menjadikan nas-nas agama
sebagai sendaan adalah terbit daripada salah satu dari tiga niat di atas.
Mereka ini bukan sahaja tidak mencukupi ilmu pengetahuan agamanya sebaliknya
mereka gagal membersihkan niat mereka dalam menuntut ilmu syarak atau ketika
membaca bahan agama.
3- Kelahiran tokoh agama 'segera' yang mengajar agama di surau, masjid dan
sebagainya tanpa mendalami ilmu-ilmu Islam dan disiplin setiap ilmu adalah
berpunca dari niat ingin menzahirkan diri sekalipun mereka tidak layak.
Sebahagian mereka sememangnya mempunyai sedikit pengajian agama. Namun niat
ingin segera muncul di khalayak ramai menjadikan mereka tergesa-gesa menjadi
guru orang ramai sebelum mereka menguasai ilmu. Maka lahir fatwa-fatwa yang
menyanggahi kitab Allah dan sunnah RasululLah s.a.w.
4- Orientalis telah memperdayakan umat Islam dalam persoalan niat menuntut
ilmu ini. Maka kita dapati pada hari ini ramai yang memiliki sijil agama
sehingga ke peringkat kedoktoran falsafah dari dunia barat dengan 'berguru'
kepada Yahudi dan Kristian. Sikap tidak mementingkan ilmu dan ingin segera
memeliki sijil segera dan memperolehi habuan dunia menjadikan sebahagian
mereka mengambil jalan pintas dengan berguru kepada musuh-musuh agama dalam
bidang agama. Kebanyakan mereka pulang ke dunia Umat Islam dengan membawa
pemikiran yang beracun. Secara sedar atau tidak mereka ini hari demi hari
hanya menambahkan keraguan jiwa mereka terhadap agama, demikian juga mereka
sebarkan kepada umat Islam.
Sebab itu seorang tabi' besar Muhammad bin Sirin (wafat 110H) menyebut :
maksudnya : "Sesungguhnya ilmu ini (mengenai al-Quran dan as-Sunnah) adalah
Deen (agama). Oleh itu perhatikanlah daripada siapa kamu semua mengambil
agama kamu." (riwayat Muslim pada muqaddimah sahihnya)
Bayangkan bagaimana dipelajari aqidah Islamiyyah daripada guru yang kafir
yang tidak percayakan Islam, bagaimana dipelajari tafsir daripada guru yang
tidak percayakan al-Quran, bagaimana dipelajari hadith daripada guru yang
tidak beriman dengan Muhammad sebagai Rasul, bagaimana dipelajari fekah
daripada guru yang tidak pernah mengamalkan hukum hakam syarak. Namun hanya
kepada Allah kita mengadu betapa ramai anak-anak umat Islam yang mendapat
kelulusan agama dengan panduan mereka yang tidak beriman kepada Islam.
mereka pulang dengan membawa gelaran-gelaran ilmu, namun sebenarnya
sebahagian mereka hanya membawa racun kepada umat Islam.
Ditaip semula oleh : Abdul Kadir

Kad Kredit |
Kisah Wahyu Terakhir | Solat |
Hudud |
Saat Kematian | Sekular |
Menu
Cadangan dan teguran dipersilakan kealamat
azubir99@gmail.com
|